Setelah saya membersihkan cermin di bilik air rumah saya, saya mula membelek-belek gigi saya. Tercongak-congak memeriksa gigi. Menurut ukuran mata saya yang tidak terlatih sebagai doktor gigi, ia kelihatan OK. Sedikit tinggi dan rendah, sedikit ke hadapan dan ke belakang dan sedikit kekuningan. Namun ia OK kerana sejauh yang saya nampak, tidak kelihatan kerak-kerak gigi (plaque).
Bukan apa, saya sebenarnya baru balik ke rumah setelah berjumpa beberapa rakan bersembang-sembang di kedai mamak. Ia merupakan pertemuan pertama, justeru lebih disebut sebagai pengenalan (ta'aruf). Mereka berpakaian kemas sama ada berjubah atau berbaju melayu dengan kopiah putih lagi keras. Wajah mereka berseri-seri, gembira berjumpa saya agaknya (kes perasan).
Mereka juga tidak keberatan untuk menghadiahkan senyuman di celah-celah topik persembangan kami. Namun di celah-celah senyuman itulah saya ternampak gigi mereka dan di celah-celah gigi merekalah saya ternampak kerak-kerak gigi yang agak banyak. Hati saya berbelah bahagi. Hendak ditegur, bererti merosakkan kehamonian pertemuan yang baru pertama kali. Hendak didiamkan, bererti mengabaikan tanggungjawab saya menasihati sesama muslim. Hmm…apa nak buat?
Alhamdulillah, saya teringat kepada peluang lain yang saya ada untuk saling memberi nasihat, iaitu melalui kolum bulanan saya dalam majalah i yang dikasihi ini. Maka inilah yang ingin saya tulis, saya kongsi dan nasihatkan kepada para pembaca yang budiman sekalian. Ketahuilah para pembaca sekalian, menjaga kebersihan gifi merupakan antara sunnah tang amat diberi perhatian lagi disukai oleh Rasulullah SAW. Sayang sekali, sunnah ini jarang-jarang diberi perhatian oleh kita masa kini. Bahkan ada segelintir yang memandang serong jika ternampak seorang muslim lain yang sedang khusyuk membersihkan giginya dengan kayu sugi.
Sunnah Yang Dilupakan.
Secara kebetulan, saya baru-baru ini baru menelaah buku yang ditulis oleh Haifa binti Abdullah al-Rashid – semoga Allah memelihara beliau – yang sudah diterjemah atas judul Menghidupkan Sunnah-Sunnah Yang Terlupakan. Salah satu sunnah yang beliau senaraikan ialah berkenaan bersiwak, di mana beliau menukil kata-kata al-Allamah al-Sha‘ani rahimahullah: “Dalam kitab al-Badr al-Munir disebutkan bahawa ada lebih seratus hadis yang menyebutkan tentang siwak. Namun sungguh menghairankan, sunnah Nabi SAW yang banyak itu dilalaikan oleh kebanyakan orang bahkan oleh kebanyakan ahli fiqh. Ini adalah sebuah kerugian yang amat besar.”
Menyebut tentang siwak atau membersihkan gigi dengan kayu sugi, memang terdapat banyak hadis berkenaannya. Sebagai ulangkaji, izinkan saya menyalin beberapa darinya. ‘Abdullah ibn ‘Umar menerangkan: “Tidaklah Rasulullah SAW tidur melainkan siwak ada di samping baginda. Tatkala baginda bangun tidur, baginda terus bersiwak.” [Musnad Ahmad] Abu Hurairah pula meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Andaikata tidak memberatkan umatku, nescaya aku akan memerintahkan mereka untuk selalu bersiwak setiap kali hendak mendirikan solat.” [Shahih al-Bukhari]
Al-Miqdam bin Syuraih meriwayatkan daripada ayahnya: “Aku bertanya kepada A’isyah, apakah yang terlebih dahulu dilakukan oleh Nabi SAW ketika masuk ke dalam rumah?” A’isyah menjawab: “Bersiwak.” [Shahih Muslim] Selain itu baginda juga pernah menyatakan: “Siwak itu pembersih mulut dan mendatangkan keredhaan Allah.” [Musnad Ahmad]
Demikianlah, dapat dirumuskan bahawa menjaga kebersihan gigi secara kerap merupakan sunnah yang penting, khususnya pada beberapa suasana seperti (1) Ketika bangun tidur, (2) sebelum berwudhu’, (3) sebelum mendirikan solat, (4) sebelum membaca al-Qur’an, (5) sebelum memasuki rumah, (6) setelah makan dan minum dan (7) ketika hendak bertemu dengan seseorang.
Rasulullah SAW bukan sahaja suka dan lazim bersiwak tetapi baginda juga suka melihat orang yang bersiwak. A'isyah RA menerangkan bahawa 'Abdul Rahman bin abu Bakar pernah masuk ke rumah menemui Nabi SAW. Ketika itu 'Abdul Rahman membawa siwak yang basah untuk membersihkan giginya. Mata Nabi SAW tidak terlepas dari memandang siwak itu sehingga akhinya A'isyah mengambilkan sebatang kayu siwak untuk baginda. [Sahih al-Bukhari].
mmmm
Siwak pada masa kini
Terdapat perbincangan di kalangan para ilmuan, adakah sunnah dalam menjaga kebersihan gigi terhad kepada siwak (kayu sugi) atau meluas kepada peralatan moden masa kini seperti berus, ubat dan flos gigi?
Saya bersikap terbuka dalam perbincangan ini. Sama ada dengan bersiwak, berus gigi atau kedua-duanya, yang penting kita menjaga kebersihan gigi kita. Bagi yang sudah sekian lama terlupa untuk melazimkan diri dengan amalan sunnah ini, dianjurkan berjumpa doktor gigi untuk membersihkan apa-apa kerak dan kotoran yang mungkin telah sekian lama bermastautin di celah-celah gigi.
Gigi yang bersih menandakan ikutan seseorang kepada sunnah yang penting lagi disukai oleh Rasulullah SAW. Ia juga membolehkan kita menghadiahkan senyuman tanpa ragu kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan sesiapa jua, khasnya menjelang 1 Syawal yang akan tiba insya-Allah.
Recent Posts
::Iqrak::
P.Z.R
Tuesday, November 16, 2010
:::Haiss Gigi gigi:::
Hanya Sampingan..^_^
:::Andai Bertemu dan Berpisah Kerana Allah:::
Ulama Pewaris Nabi

0 comments:
Post a Comment